Friday 1 November 2013

KOTA KINABALU: Perbicaraan 30 pengganas yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Mac lalu ditetapkan semula pada 6 Januari hingga 14 Februari depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung menetapkan perbicaraan bermula 6 Januari hingga 10 Januari, disambung pada 15 Januari hingga 17 Januari kemudian 27 Januari hingga 30 Januari dan 10 Februari hingga 14 Februari.
Tarikh berkenaan ditetapkan pada sebutan semula kes di Ibu Pejabat Penjara Pusat, di Kepayan, dekat sini, sebentar tadi.

Chung turut menetapkan 15 Disember depan sebagai tarikh untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan fakta serta isu yang dipersetujui kedua-dua pihak bagi perbicaraan berkenaan.

Pada perbicaraan itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengetuai kumpulan pendakwaan dan dibantu enam peguam lain manakala Datuk N Sivananthan mengetuai pembelaan untuk 27 tertuduh.

Tiga lagi tertuduh masing-masing diwakili peguam Kamaruddin Mohmad Chinki, Rowiena Rasid and Abdul Gani Zulika.

Sementara itu, Abdul Ghani ketika ditemui selepas sebutan semula itu berkata, pihaknya belum menetapkan jumlah saksi yang akan dipanggil sepanjang perbicaraan berkenaan.

Terdahulu, sebutan semula kes dilakukan secara tertutup di Ibu Pejabat Penjara Pusat yang dijadikan sebagai mahkamah sementara untuk kes ini.